Salam pertemuan.
Anda ikuti kelas HIIT/Tabata di gym atau atas talian. Jurulatih suruh satu kelas/ penonton bikin 100 ulangan lompatan diatas dan anda pun pancit. Peluh bercucuran satu badan.
Demam 'Lompat Untuk Kurus' ini pada hemat saya bermula sekitar tahun 2008 -2010 pabila banyak video Youtube atau rancangan tv 'mempromosikan agenda' tersebut. Insanity, PX90, The Biggest Loser adalah antara yang terkenal ketika itu.
Ketika itu juga sesi latihan di padang seperti Boot Camp tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Selain drill komando, sering kedapatan para peserta terlompat-lompat ditengah padang.
Adakah senaman plyometric/explosive sebegini boleh membantu anda menurunkan berat badan? Seperti biasa, jawapannya ialah : BERGANTUNG PADA KEADAAN TERTENTU.
LOMPAT-MELOMPAT TIDAK SESUAI JIKALAU :
- Berat badan anda sangat berlebihan.
- Mekanisme satu-satu senaman gerak melompat itu belum anda kuasai.
- Otot pelvic floor anda kurang daya tahan lasak, anda kerap terkucil/terkencing/terkinjit pabila melompat.
LOMPAT-MELOMPAT SESUAI JIKALAU :
- Otot-otot anda cukup kuat untuk menyokong sendi-sendi anda ketika melompat.
- Acara sukan anda boleh bertambah baik dan maju dengan melompat.
- Anda tidak ada tiga masalah diatas : berat badan / mekanisme / otot pelvic floor.
- Anda perlukan variasi untuk lebih bermotivasi ketika bersenam.
Apa pun jikalau gerak melompat ini sesuai untuk anda, beberapa perkara perlu diambil kira :
- Lantai tempat anda berlatih melompat itu. Studio tarian dan pusat latihan gymnastik biasanya memiliki lantai khas berlapik yang mana pabila anda melompat langsung tidak terasa sebarang hentakkan ketika mendarat. Gym komersil mungkin tiada lantai berlapik sebegitu.
- Kasut tertentu yang memberi sokongan pada buku lali (ankle) pada masa yang sama memiliki kelenturan untuk jari-jemari, ruas kaki (arches) dan tumit.
- Jangan berlatih keterlaluan tanpa cukup rehat antara sesi mahupun antara set. Aktiviti melompat ini mencabar kecergasan jantung (cardio) , kekuatan/daya tahan otot dan kelenturan pada masa yang sama, disamping menguji koordinasi. Badan boleh jadi terlalu letih dek banyak melompat hatta anda sudah dikira sebagai seorang yang sangat cergas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan